Mohamed Azmin menyaksikan penyerahan kereta kepada Ketua Pembangkang Datuk Mohd Shamsudin Lias (kiri) oleh Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

Shah Alam: Bajet yang diumumkan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali untuk 2015 memperlihatkan berlakunya defisit RM450 juta dalam peruntukan kerajaan negeri apabila perbelanjaan yang diperuntukkan melebihi daripada jangkaan hasil negeri.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.42 bilion secara keseluruhan masing-masing RM1.28 bilion perbelanjaan mengurus dan RM1.13 bilion perbelanjaan pembangunan.

Menurutnya, perbelanjaan yang diperuntukkan lebih tinggi daripada hasil negeri iaitu RM1.97 bilion namun beliau yakin hasil negeri dapat ditingkatkan dengan pembangunan yang dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata, bagaimanapun kerajaan negeri sudah meneliti secara keseluruhan peruntukan dan memberi jaminan tiada bajet tambahan akan dikemukakan tahun depan.

“Pembentangan bajet dari 2008 hingga 2014 adalah defisit dan dibentangkan dengan kaedah bajet berimbang tetapi tiga atau empat bulan selepas itu, bajet tambahan dibawa ke dewan (Sidang Dewan Undangan Negeri) dan menyebabkan perbelanjaan bertambah.

“Saya ambil pendirian yang berbeza dengan mengemukakan secara jujur kepada rakyat, ini adalah jumlah yang diperlukan negeri. Saya beri jaminan tiada belanjawan tambahan untuk tahun depan,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:14 AM