PEGAWAI Jabatan Pertanian negeri mencabut rumpai yang dipercayai memudaratkan manusia.

Seremban: Hasil pendedahan akhbar ini kelmarin mengenai kewujudan rumpai ‘Miang Mexico’ yang boleh membahayakan orang ramai yang memegangnya, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan bertindak mencabut tumbuh-tumbuhan itu di Kampung Baru Saga, Rantau di sini, semalam.

Pengarahnya Mustafa Umar berkata, seramai 10 pegawai ditugaskan untuk mencabut rumpai berkenaan dalam usaha memastikan ia tidak lagi tumbuh di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini, pada 11 dan 20 November lalu, pihaknya sudah melakukan semburan racun pada rumpai itu atau dalam bahasa saintifiknya ‘Parthenium Hysterophorus’.

“Hari ini (semalam), kita sekali lagi bermula jam 9.30 hingga 11.30 pagi bergotong royong mencabut rumpai itu termasuk akarnya di sekitar jalan utama di kampung berkenaan,” katanya.

Harian Metro kelmarin dan semalam melaporkan penemuan rumpai berkenaan yang tumbuh meliar di kampung itu hingga menyebabkan seorang penduduk S Kaliammah, 63, mengalami ruam di tangan serta kaki selepas disyaki memegang tumbuh-tumbuhan itu.

Mustafa berkata, selepas dicabut, rumpai berkenaan dimasukkan dalam plastik sebelum dibakar di kawasan tanah lapang di kampung itu.

Katanya, gotong royong itu hanya membabitkan aktiviti mencabut rumpai yang besar manakala anak pokok akan disembur racun oleh penduduk.

“Pada masa ini, kita sudah memberikan racun kepada 75 pemilik rumah di kampung itu untuk mereka meracun rumpai di halaman kediaman masing-masing,” katanya.

Ketua kampung itu S Ravi, 47, berkata, beliau lega kerana kewujudan rumpai berbahaya itu diambil perhatian pihak berwajib yang segera mencabut dan menyembur racun pada tumbuh-tumbuhan berkenaan.

“Setakat ini, pihak pengurusan kampung turut mengedarkan risalah kepada penduduk mengenai bahaya rumpai berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 6:13 AM