PENGUAT kuasa MPPD berbincang dengan pemilik rumah dalam Operasi Sita di Dataran Segar, Lukut, Port Dickson.

Port Dickson: Lima rumah dan sebuah premis perniagaan haiwan di bandar ini, disita akibat gagal membayar tunggakan cukai taksiran sejak lebih tiga tahun lalu, semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Datuk Ab Khalid Mat berkata, tindakan itu terpaksa diambil kerana rekod tunggakan cukai taksiran sehingga 30 Oktober tahun ini berjumlah hampir RM20 juta.

Menurutnya, jumlah itu membabitkan 19,879 pegangan harta di bawah kawasan pentadbirannya yang enggan membayar cukai sejak enam tahun lalu.

“Pelbagai usaha dan tindakan diambil bagi mengutip jumlah tunggakan selain memaklumkan pemilik namun tidak diendahkan.

“Prestasi kutipan masih tidak mencapai sasaran yang ditetapkan walaupun operasi Mesra Kutipan secara pintu ke pintu dijalankan sebelum ini untuk memudahkan pemilik menjelaskan tunggakan,” katanya ditemui ketika operasi berkenaan, semalam.

Operasi yang diketuai Pegawai Undang-Undang, Puziah Mohd Said bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 1 petang itu turut merampas barangan seperti televisyen dan perabot.

Rampasan dibuat sebagai cagaran sehingga pemilik membayar jumlah tunggakan sepenuhnya.

Pada tahun ini, hanya 18.4 peratus jumlah cukai pintu yang berjaya dikutip berbanding jumlah sasaran kutipan 30 peratus.

“Sebanyak 50 peratus iaitu RM9.9 juta membabitkan harta jenis apartmen belum dibayar, harta individu seperti rumah dan kedai (RM9.3 juta) dan harta khas berbentuk industri (RM500,000),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 7:16 AM