NAJIB membentangkan kertas putih berkenaan isu IS sambil diperhatikan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kuala Lumpur: Kerajaan mencadangkan satu undang-undang baru digubal untuk membanteras dan mengambil tindakan terhadap rakyat Malaysia yang terbabit dalam aktiviti militan dan pengganas.

Ketika membentangkan kertas putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)’ di Dewan Rakyat, semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan juga bercadang untuk membentang rang undang-undang berkenaan pada sidang parlimen akan datang.

Katanya, kertas putih terbabit turut mencadangkan untuk memperkasakan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Kanun Keseksaan.

“Dalam menghadapi ancaman ini, sudah sampai masanya bagi kerajaan mengambil langkah sewajarnya untuk mengekang pengaruh IS.

“Sejajar negara lain yang mana sudah memperkenalkan dan memperkemaskan undang-undang anti pengganasan sebagai jalan utama menangani ancaman pengganas, kertas putih ini mencadangkan satu undang-undang baru yang sesuai digubal untuk membanteras dan mengambil tindakan terhadap rakyat Malaysia yang terbabit dalam aktiviti militan dan pengganas.

“Kerajaan bercadang membentang rang undang-undang ini pada sesi Parlimen akan datang. Selain itu, kertas putih ini mencadangkan pemerkasaan undang-undang sedia ada seperti SOSMA, POCA dan Kanun Keseksaan, khusus bagi menangani ancaman pengganas dan militan,” katanya.

Selain itu, Najib berkata kerajaan juga bimbang dengan potensi ancaman keselamatan menerusi kepulangan rakyat Malaysia dari kawasan konflik di Syria dan Iraq.

Katanya, lebih membimbangkan ialah apabila mereka sudah dilengkapi dengan kepakaran hasil pembabitan dengan aktiviti pengganasan seterusnya berupaya mengancam keselamatan negara pada bila-bila masa.

“Tidak dinafikan, kepulangan rakyat Malaysia dari kawasan konflik boleh meningkatkan risiko keselamatan kepada negara, lebih menakutkan dengan pengalaman mereka ada, taktik peperangan, mereka berupaya melakukan aktiviti pengganasan secara bersendirian.

“Dengan kepakaran ketenteraan dan kemahiran membuat bom yang diperolehi di Syria, mereka berpotensi membuat serangan pada bila-bila masa sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan besar,” katanya.

Najib menjelaskan, cabaran besar yang perlu dihadapi apabila IS menggunakan media sosial bagi menarik sokongan masyarakat khususnya generasi muda.

“IS menggunakan pelbagai bahasa asing termasuk bahasa Indonesia untuk menarik sokongan dan simpati penduduk Islam yang besar di Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut menggesa semua lapisan masyarakat tidak terpengaruh dengan ideologi IS dan menolak IS dengan sekeras-kerasnya dan yakin dengan konsep wasatiyah sebagai jalan terbaik bagi menjamin keamanan negara.

“Kerajaan berpegang pada prinsip kebebasan bersuara dan hak asasi manusia termasuk akses media sosial, namun menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan ia tidak mengancam keselamatan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 8:11 AM