MAZUKI melihat kaki isterinya Zila sambil diperhati bapa mentuanya Mohamad serta dua anaknya Muhamad Ikram dan Muhamad Hafizudin.
MAZUKI melihat kaki isterinya Zila sambil diperhati bapa mentuanya Mohamad serta dua anaknya Muhamad Ikram dan Muhamad Hafizudin.

Kuala Terengganu: “Selagi jasad masih bernyawa, saya akan menjaga empat ahli keluarga yang dikategori orang kurang upaya (OKU) sebaik mungkin,” kata Mazuki Jambol, 50, dari Kampung Pengadang Baru, Jalan Kepong, di sini.

Menurutnya, dua anaknya Muhamad Ikram, 10, dan Muhamad Hafizudin, 15, cacat sejak dilahirkan.

Katanya, isterinya Zila Mohamad, 38, dan bapa mentuanya Mohamad Mat Diah, 75, yang juga OKU kategori bisu sejak lahir pula mengalami kecacatan apabila kaki kanan masing-masing terpaksa dipotong akibat terbabit dalam kemalangan 10 tahun lalu.

“Dengan pendapatan RM200 hingga RM300 sebulan hasil menjual pisang goreng, saya menyara isteri bersama dua anak, ibu dan bapa mentua.

“Bapa mentua mendapat wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 manakala isteri pula mendapat RM150 wang bantuan daripada agensi sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurut Zila, kejadian 10 tahun lalu mengakibatkan dia dan bapanya mengalami kecacatan kekal apabila kaki kanan terpaksa dipotong selepas terbabit dalam kemalangan ketika pulang dari pasar borong berdekatan rumahnya.

“Sebelum kejadian itu, saya bekerja sebagai pencuci di sebuah bangunan kerajaan namun akibat kehilangan sebelah kaki saya beralih pula membuat kuih untuk dijual di kedai makan berhampiran rumah.

“Bagaimanapun, sejak enam bulan lalu saya terpaksa berhenti membuat kuih kerana masalah kesihatan berikutan terdapat ketumbuhan di dalam rahim,” katanya.

Menurutnya, dia kini mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, berikutan penyakit dialaminya itu.

Katanya, dia dan bapanya berharap untuk mendapatkan bantuan kaki palsu bagi memudahkan mereka bergerak dan menjalankan aktiviti harian.

Zila berkata, dengan adanya kaki palsu mungkin lebih memudahkan pergerakan dia dan bapanya berikutan pergerakan hariannya terhad kerana menggunakan kerusi roda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 7:56 AM