Kuala Lumpur : Kerajaan perlu mewujudkan satu sekretariat usahawan yang diselia seorang menteri bagi membantu memantapkan lagi usahawan Melayu dan Bumiputera.

Wakil Pulau Pinang Mansor Musa berkata, ia termasuk menambah peruntukan Majlis Pembangunan Bumiputera sehingga RM100 juta bagi memantapkan program ekonomi terutama di kalangan golongan muda dan pelajar.

“Selain itu, koperasi mesti dibantu kerana 90 peratus terdiri daripada orang Melayu. Ini ekonomi rakyat yang berpaksi kepada kesejahteraan rakyat. Koperasi lebih dekat dengan rakyat, namun, koperasi mikro modal kurang dari RM1 juta tidak boleh berkembang kerana modal tak cukup, bank pula kurang bantu.

“Tabung modal pusingan RM100 juta hingga Oktober 2014 sudah habis. Jadi, kena beri peruntukan RM1 bilion. Selain itu kita cadang beri insentif percukaian iaitu tujuh tahun tidak dikenakan cukai selain amaun keuntungan RM750,000 dinaikkan kepada RM2 juta yang boleh dikenakan cukai manakala syer perbelanjaan boleh potong cukai pendapatan,” katanya ketika membahaskan usul ekonomi, semalam.

Beliau juga mencadangkan 1MDB hanya membeli tanah di Pulau Pinang di kawasan majoritinya diduduki orang Melayu seperti Balik Pulau, Nibong Tebal dan Kepala Batas.

“Tanah yang dibeli 1MDB bernilai RM1.389 bilion di Paya Terubong, Air Itam tidak dapat memberi keuntungan kepada orang Melayu kerana hanya enam peratus pengundi Melayu, jadi lebih baik beli tanah di Balik Pulau, Nibong Tebal dan Kepala Batas,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 6:23 AM