ANGGOTA forensik kebakaran menjalankan siasatan pada kenderaan yang musnah dipercayai perbuatan khianat.

Klang: Pengarah Jabatan Undang-Undang Majlis Perbandaran Klang (MPK) tergamam apabila kereta Mercedes-Benz miliknya yang dipakir di tempat letak kereta di bangunan MPK, di sini, hangus terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.

Dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, Datin Fadzilah Abdul Aziz, 51, baru 10 minit meninggalkan keretanya untuk menunaikan solat di surau di kawasan bangunan MPK sebelum dimaklumkan saksi mengenai kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintendan Goh Lee Fook, berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya mengesyaki kejadian berkenaan mempunyai unsur khianat berikutan tiada sebarang punca api berdekatan lokasi yang boleh menjadi punca kebakaran.

“Daripada keterangan saksi, bahagian cermin kereta turut terbakar dan kami mengesyaki api berpunca daripada minyak yang di disimbah ke atas kenderaan itu,” katanya.

Goh berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 6:34 AM