KANAK-KANAK diarak dengan motosikal berkuasa tinggi sebelum dikhatankan di Masjid Jamek Medan Klebang Restu, Chemor, semalam.
Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: “Kena bersunat ke sekejap lagi,” itu reaksi Fakeh Budiman Abu Nain, 7, yang hampir terlupa dikhatankan kerana seronok dirai pada majlis berkhatan beramai-ramai di Masjid Jamek Medan Klebang Restu, Chemor di sini, semalam.

Fakeh Budimaan bersama 18 kanak-kanak lain diraikan di majlis anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kinta dan Komuniti 1Malaysia dengan kerjasama jawatankuasa kariah Masjid Jamek Medan Klebang Restu.

Semua kanak-kanak itu diarak dengan motosikal berkuasa tinggi bersama ahli Kelab E-Tiraf Bikers sebelum disembur air menggunakan hos oleh sukarelawan bomba.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pegawai Khas Menteri Kewangan Kedua Sukiman Jalil.

Muhammad Zikry Saifulnizam, 10, yang turut menyertai majlis berkenaan juga tenang menunggu gilirannya untuk dikhatankan.

“Sepatutnya saya berkhatan pada tahun lalu, tetapi ditangguhkan. Pada mulanya rasa takut, tetapi perasaan itu hilang kerana ramai rakan turut sama berkhatan,” katanya.

Sementara itu, Sukiman berkata, program itu kali keenam dianjurkan dan akan diteruskan pada masa depan.

“Ia juga dapat membangkitkan perasaan muhibah dan perpaduan di kalangan peserta juga ahli keluarga mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:14 AM