ASIH mendukung anak sulungnya, Putri Balqis.
ROSIDAH bersama suaminya, Ahmad Fauzi melihat bayi mereka, Muhammad Akif Amsyar.
Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown : Waris dua bayi menghidap jantung berlubang merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan anak mereka yang perlu dilakukan segera.

Bayi berkenaan, Muhammad Akif Amsyar Ahmad Fauzi kini berusia sebulan, memerlukan RM45,000 bagi menampung kos pembedahan apabila disahkan menghidap penyakit jantung selepas sebelas hari dilahirkan.

Ibunya Rosidah Idris, 35, dari Kampung Bukit Iboi, Baling, Kedah, berkata, doktor menasihatkan supaya Muhammad Akif Amsyar menjalani pembedahan susulan selepas anak bongsunya itu menjalani proses sama Sabtu lalu.

“Pembedahan itu bagi membuka saluran pada jantung yang sempit, kami lega kerana Muhammad Akif Amsyar kini dalam keadaan stabil. Namun perlu menjalani satu lagi pembedahan bagi merawat bahagian jantung yang berlubang.

“Hasrat untuk melihat Muhammad Akif Amsyar pulih terbantut berikutan kami tidak mampu menampung kos pembedahan itu sedangkan doktor memaklumkan ia akan dilakukan pada bila-bila masa saja,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Gleneagles di Jalan Pangkor di sini, semalam.

Sementara itu, pasangan Mahathir Ramli, 38, dan Asih Sugianto, 31, dari Jelutong memerlukan jumlah sama bagi menampung kos pembedahan anak sulung mereka.

Mahathir yang juga penjaja makanan berkata, anaknya Putri Balqis berusia enam bulan disahkan menghidap masalah jantung sejak lahir menyebabkan dia dan isteri risau.

“Putri Balqis mengalami masalah saluran jantung sempit manakala saluran jantung ke otak didapati songsang, akibat menderita masalah itu berat badannya juga tidak meningkat walaupun kini sudah berusia enam bulan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan wang tunai atau cek boleh salur melalui tabung NSTP, Bahagian Kewangan/unit Kebajikan, The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, No 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:10 AM