KERETA dipandu mangsa terbabas selepas membeli keperluan perkahwinan abangnya.
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: "Arwah tidak mahu buat ujian bagi menentukan jantina bayi kerana mahu ia menjadi kejutan sewaktu melahirkan anak hujung bulan depan," kata pemandu lori barang Ahmad Aiqal Azman, 23, suami kepada Siti Nurnazira Amran, 23, yang maut selepas kereta dipandunya terbabas di Jalan Besar FELDA Palong 14, 15 dan 16, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.55 petang itu, Siti Nurnazira dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di FELDA Palong 13, di sini, selepas membeli barang keperluan perkahwinan abangnya di pekan Bahau.

Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian kira-kira 10 kilometer dari rumahnya, mangsa dikatakan gagal mengawal kereta Proton Wira dipandu sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada anggota badan dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Palong 9, di sini, manakala tiga penumpang lain iaitu anak lelakinya berusia sembilan bulan, abang dan bakal kakak iparnya terselamat dan hanya mengalami cedera ringan serta dirawat sebagai pesakit luar di klinik berkenaan.

Ahmad Aiqal yang ditemui di bilik mayat Hospital Jempol, di sini, berkata, apabila arwah isterinya disahkan mengandung anak kembar, mereka terlalu gembira dan bersyukur apatah lagi belum ada sejarah kelahiran kembar dalam keluarga.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:01 AM