Rozila (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pada majlis penyerahan sumbangan daripadaTabung Bencana MPB-NSTP, semalam.
Oleh Norul Awatif Romli

Baling: Kehadiran 10 sukarelawan Briged Sukarelawan Media Prima Berhad (MPB)-The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan disambut dengan keceriaan oleh 176 keluarga mangsa banjir di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini.

Misi bantuan mangsa banjir diketuai wakil Bahagian Komunikasi Korporat NSTP Rozila Abd Rahman itu diadakan di DUN Kuala Ketil dan DUN Bayu selama dua hari bermula semalam.

Antara mangsa banjir adalah dari Kampung Kuala Bakong, Kampung Binjul Luar dan Kampung Tawar di DUN Kuala Ketil, manakala Kampung Siput, Kampung Bongor dan Kampung Bok Bak di DUN Bayu.

Sumbangan disampaikan berjumlah RM25,000 dengan sebahagiannya disumbangkan Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, manakala setiap keluarga menerima bantuan wang tunai RM130 dan barangan keperluan harian seperti gula, minyak masak, beras dan lain-lain bagi meringankan beban yang ditanggung.

Penduduk Kampung Kuala Bakong Awang Kecik Salleh, 80, berkata, dia bersyukur dengan bantuan diberikan itu kerana ia amat bermakna kepada mangsa banjir sepertinya.

““Banyak peralatan rumah rosak dalam kejadian banjir tempoh hari dan bantuan ini meringankan beban saya,” ” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan oleh Tabung Bencana MPB-NSTP di Dewan Orang Ramai Kampung Binjul Luar, Mukim Tawar, di sini.

Katanya, sehingga kini dia tidak dapat pulang ke rumahnya dan menumpang di rumah anak yang terletak berhampiran berikutan keadaan kediamannya tidak terurus selepas dilanda banjir kilat tiga kali berturut-turut sejak Oktober lalu.

Penduduk lain Saadiah Harun, 55, dari Kampung Batu Tujuh, di sini, berkata, dia terharu dan berbangga dengan keprihatinan ditunjukkan MPB-NSTP kerana menghulurkan sumbangan tanpa mengira bangsa dan agama.

Banjir kilat di sekitar daerah Baling pada Ahad lalu menyebabkan 13 kampung di daerah terbabit terjejas selepas paras air Sungai Ketil di Mukim Siong meningkat ke paras berbahaya.

Kampung yang terjejas ialah Kampung Kuala Kuda, Bukit Sebelah, Siput (Mukim Siong); Kampung Banggol Derum, Dusun Raja, Lahar, Nering, Pantai Teh, Haji Abas (Mukim Bongor); Kampung Sungai Batu, Seberang Pekan, Bawah Gunung (Mukim Baling) dan Kampung Lubuk Pedati serta Tanjung Merbau di Mukim Pulai.

Baru-baru ini Media Prima Bhd mengaktifkan semula Tabung Bencana NSTP-Media Prima berikutan banjir di Sabah dan sebagai langkah persediaan bagi kawasan lain yang lazimnya dilanda banjir ketika musim tengkujuh.

Tabung Bencana itu dimulakan pada 2 Oktober 2009 untuk membantu mangsa bencana alam dan orang ramai boleh menyumbang dengan mendepositkan wang ke akaun Maybank 5141-0532-0757 sama ada melalui Maybank2u, ATM dan perbankan telefon KawanKu, mesin deposit tunai Maybank, mesin deposit cek Maybank atau kaunter Maybank.

Sumbangan menerusi cek atas nama Tabung Bencana NSTP-Media Prima boleh disalurkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Bhd, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:08 AM