MUHAMMAD Ammar (tengah) bersama gurunya pada Majlis Kesyukuran selepas sembuh daripada penyakit JE, semalam.
Oleh Zulfa Mohamad


Tasek Gelugor : “Adalah satu keajaiban kerana Muhammad Ammar sembuh daripada jangkitan virus Japanese Encephalitis (JE) walaupun penyakit itu dikatakan tiada ubat,” kata Haniza Ayob, 40, ibu Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, dijangkiti JE, Mei lalu.

Haniza dari Kampung Selamat di sini, berkata dia tetap percaya setiap penyakit ada ubatnya walaupun peluang Muhammad Ammar untuk pulih sebelum ini dikatakan hanya 50:50 selepas anak sulungnya itu koma selama 14 hari.

“Walaupun perubatan moden belum lagi menemui penawar bagi merawat JE setakat ini, saya tetap menganggap setiap penyakit ada penawarnya iaitu al-Quran.

“Sejak Muhammad Ammar dijangkiti virus itu saya banyak berdoa dan menggunakan khidmat pengamal perubatan Islam, usaha itu mula menampakkan kesan apabila Muhammad Ammar, sebelum terlantar kini mampu berjalan, bercakap dan menulis semula,” katanya selepas majlis kesyukuran untuk anaknya itu di Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat, semalam.

Hadir sama, Naib Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas Abdul Razak Ahmad, mewakili Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Pengarah Pelajaran Pulau Pinang Sharifah Bee Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Abdul Aziz Abdul Rahman dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Zamri Ahmad.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:14 AM