TUANKU Muhriz (kanan) menerima felo kehormat daripada McMohan, semalam.

Bangi: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menjadi tokoh pertama dari Malaysia menerima anugerah tertinggi Felo Kehormat dari Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom.

Baginda yang juga Canselor UKM menerima anugerah itu daripada Naib Canselor Universiti Aberystwyth, Prof Dr April McMohan dalam satu istiadat Konvokesyen Diraja di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

Penganugerahan itu sebagai menghargai peranan baginda dalam bidang undang-undang, korporat dan hal ehwal awam sehingga dilantik menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 2008.

Dr McMohan dalam ucapannya berkata, penghargaan tertinggi daripada universiti itu diberikan atas kegemilangan dibawa baginda ketika menuntut di universiti berkenaan pada penghujung 1960-an.

“Kami berbesar hati baginda sudi menerima penghargaan yang diberi ini. Sejak penubuhan universiti ini pada 1872, ini kali pertama kami menganugerahkan Felo Kehormat kepada individu dari luar Wales,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:08 AM