ABDUL Rahman (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan Negara 2014, semalam.

Putrajaya: Pelbagai pelan dan insentif dirangka bagi memastikan harga rumah yang dijangka meningkat tiga peratus selepas pelaksanaan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) April tahun depan tidak membebankan pembeli yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, peningkatan peratusan itu berdasarkan kajian Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dan ia disebabkan kenaikan harga kos bahan binaan.

“Mengikut kajian itu, kesan terhadap kenaikan harga rumah tiga peratus.

“Apa yang merisaukan saya adalah ada pihak yang mungkin menaikkan harga bukan kerana GST, tetapi inginkan keuntungan lebih,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan Negara 2014 di sini semalam.

Sehubungan itu, Abdul Rahman berkata, sekiranya pengguna mendapati harga rumah naik mendadak lebih daripada jangkaan tiga peratus, mereka boleh membuat laporan kepada Jawatankuasa Pemantauan Harga GST di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Menurutnya, kerajaan tidak mempunyai kuasa menetapkan harga rumah, tetapi boleh menyediakan beberapa insentif untuk rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman.

“Usaha kerajaan menangani masalah ini adalah dengan menyediakan pelbagai pelan seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) dan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:05 AM