ANTARA rumah di Kampung Sungai Nonang yang rosak angkara puting beliung.
ANTARA rumah di Kampung Sungai Nonang yang rosak angkara puting beliung.

Alor Setar: “Saya sangka objek berterbangan di langit itu burung, rupanya puluhan zink rumah penduduk kampung yang diterbangkan puting beliung,” kata Rosliyah Yaacob dari Kampung Sungai Nonang, Jalan Kuala Kedah-Yan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, 20 rumah, empat rumah kedai dan satu kandang kambing rosak dilanda puting beliung.

Pusaran angin kencang selama lima minit itu turut menyebabkan sebuah kereta Proton Wira milik seorang penduduk tercampak dan tersangkut pada sebatang pokok sejauh kira-kira 10 meter dari bangsal tempat menyimpannnya.

Rosliyah, 49, berkata, dia menyedari kejadian ketika sedang mengutip sabut kelapa di depan rumah apabila melihat banyak objek terutama zink yang berterbangan di udara sebelum dimaklumkan penduduk banyak rumah rosak akibat puting beliung.

“Saya nampak puting beliung datang dari arah sawah menuju laut dan hilang perlahan-lahan sebelum hujan lebat.

“Sebaik hujan berhenti, saya ke rumah jiran dan nampak banyak rumah rosak. Bagaimanapun, rumah saya selamat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Penduduk lain, Che Tom Ahmad, 55, pula berkata, ketika kejadian itu, dia berada di dapur manakala dua anaknya berusia 14 dan 16 tahun berada dalam bilik.

Katanya, dia terdengar bunyi seperti enjin helikopter yang kuat dari atas rumah dan mengesyaki sesuatu akan berlaku lalu menjerit memanggil anaknya supaya menyelamatkan diri.

“Belum sempat berbuat apa-apa, saya nampak pusaran angin menerbangkan atap zink manakala kayu jatuh ke lantai satu persatu.

“Kami tiga beranak cuba keluar dari rumah, tetapi terperangkap dengan zink yang jatuh bertimpa-timpa lalu berlindung di ruang tamu sambil berdoa supaya selamat,” katanya.

Che Tom berkata, ketika kejadian, suaminya, Zainol Mustafa, 57, sedang bekerja di kilang padi berhampiran dan bersyukur kerana mereka bertiga tidak cedera.

Seorang lagi penduduk, Azizah Yahya, 48, berkata, dia bersama tiga anak yang berusia lima, 14 dan 17 tahun sempat berlindung dalam bilik sebaik terdengar bunyi pusaran angin yang datang dari tepi rumah.

“Apabila keluar selepas angin itu tiada, saya nampak kereta Proton Wira milik suami, Jamal Mat Ali, 49, tersangkut pada pokok dan rosak teruk,” katanya.

Ia adalah kejadian keempat puting beliung berlaku dalam tempoh dua bulan di dua daerah di negeri ini selepas kejadian di Pendang; Kampung Sungai Baru di Kuala Sungai dan Taman Wira Mergong, di sini, yang menyebabkan banyak rumah rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:06 AM
Digital NSTP Subscribe