PASUKAN robotik politeknik Malaysia bersama robot dan piala selepas mengungguli Roboworld Cup ke-19 di Beijing.

Putrajaya: Semangat untuk mengharumkan nama Malaysia di mata dunia membuatkan pasukan robotik negara berusaha sedaya upaya dan tidak patah semangat hingga berjaya merangkul gelaran juara pada Kongres dan Kejohanan Persekutuan Persatuan Robot Bola Sepak Antarabangsa (FIRA) Roboworld Cup ke-19 di Beijing, China pada 5 hingga 10 November lalu.

Dalam kejohanan itu, Malaysia yang diwakili enam pasukan robotik dari tiga politeknik berjaya memenangi tiga pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa.

Pasukan itu dianggotai 10 pelajar politeknik yang mengikuti program Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) dan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) dari Politeknik Ungku Omar, Perak; Politeknik Seberang Prai, Pulau Pinang serta Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang.

Pelajar Politeknik Ungku Omar, Mizarul Naim Ismail, 21, berkata, pertandingan itu sangat sengit kerana pasukan yang bertanding daripada negara lain juga hebat.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak menjejaskan prestasi kumpulan kerana pasukan robotik negara bersikap profesional apabila sering sabar, selain mengamalkan semangat berpasukan tinggi sepanjang kejohanan.

“Suasana tegang hanya berlangsung ketika kejohanan berlangsung dan selepas ia berakhir, kami dan peserta pasukan lawan bertukar pandangan untuk mengenal pasti kelemahan masing-masing.

“Malah, saya tidak menyangka akan memenangi pingat emas menerusi rekaan Androsot (pemain bola sepak) kerana pertandingan memang sengit,” katanya pada sidang media meraikan peserta yang bertanding dalam FIRA RoboWorld, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Datuk Mohlis Jaafar.

FIRA RoboWorld adalah acara tahunan pertandingan robot pemain bola sepak dan pembentangan mengenai perkembangan teknologi robotik di peringkat antarabangsa.

Kejohanan itu disertai lebih 15 negara dengan 60 pasukan termasuk dari United Kingdom, Kanada, Mexico, Korea, Singapura, China dan Indonesia.

Sementara itu, Mohlis berkata, kejayaan dicapai pasukan robotik negara membuktikan institusi kemahiran itu kini bertaraf dunia.

Beliau berkata, pencapaian berkenaan amat bermakna kerana ia yang terbaik diraih sepanjang lima tahun menyertai pertandingan iaitu sejak 2010 di India.

“Setiap robot yang dipertandingkan dikawal sistem komputer yang dicipta pelajar dan saya berharap pembabitan penuntut politeknik di peringkat antarabangsa akan sentiasa berterusan, sekali gus mengaplikasikan ilmu yang dipelajari selama ini.

“Saya difahamkan ada pelajar yang demam disebabkan cuaca sejuk di sana namun mereka berjaya menyumbang pingat kepada negara menerusi kategori yang dipertandingkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:07 AM