PELAJAR kolej swasta maut dirempuh lori di persimpangan Jalan Ampang-Hulu Langat, semalam.

Ampang: Ibarat ‘laluan puaka’ apabila persimpangan Jalan Ampang-Hulu Langat menghala ke Jalan Taman Putra di sini, sekali lagi meragut nyawa apabila lori terbabas sebelum merempuh tiga kereta dan motosikal.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, seorang pelajar kolej swasta yang menunggang motosikal maut dirempuh dan diseret lori 10 tan yang membawa muatan tanah.

Kejadian itu menyebabkan mangsa yang terperosok di bawah lori turut pecah kepala.

Jurucakap polis trafik berkata, lori yang dalam perjalanan dari Jalan Hulu Langat itu hilang kawalan ketika menuruni laluan bukit curam.

“Lori itu sepatutnya berhenti di persimpangan lampu isyarat, namun gagal dikawal akibat mengalami masalah brek.

“Lori itu merempuh tiga kereta dan motosikal yang berada di persimpangan berkenaan menyebabkan pemandu kereta cedera parah manakala penunggang motosikal maut,” katanya.

Katanya, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke balai polis untuk soal siasat.

“Tiga pemandu kereta yang parah termasuk seorang patah tangan kiri dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, persimpangan berkenaan menjadi ‘bayangan maut’ berikutan sering berlaku kemalangan membabitkan kenderaan berat seperti bas dan lori.

“Kenderaan berat yang menuruni laluan bukit curam ini gagal memberhentikan kenderaan sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat menyebabkan mereka hilang kawalan dan merempuh kenderaan yang berhenti atau diletakkan di tepi jalan.

“Keadaan ini sangat berbahaya dan mengancam nyawa, namun pengguna tiada pilihan kerana mereka yang ingin pergi ke kawasan deretan kedai yang terletak di depan laluan itu terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di tepi jalan,” katanya.

Pada 24 Februari tahun lalu, bas persiaran yang membawa 15 penumpang terbabas dan merempuh kedai kasut di lokasi sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:09 AM