PELBAGAI beg tiruan berjenama dirampas dalam serbuan, semalam.
PELBAGAI beg tiruan berjenama dirampas dalam serbuan, semalam.

Kuala Lumpur: Beberapa pekerja kedai menjual beg tiruan jenama terkenal di Jalan Petaling di sini, tergamam apabila beberapa lelaki yang disangkakan pelanggan adalah pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya.

Dalam operasi jam 12.30 tengah hari semalam, pegawai KPDNKK terpaksa menyamar sebagai pengunjung berikutan kawasan itu dikawal ketat oleh tonto.

Kebanyakan peniaga terbabit tidak menyedari kehadiran pegawai KPDNKK berikutan sibuk melayan pelanggan termasuk pelancong asing.

Susulan serbuan mengejut itu, pihak KPDNKK berjaya merampas pelbagai aksesori seperti beg dan tali pinggang tiruan berjenama terkenal antara Gucci, Prada dan Louis Vuitton.

Ketua operasi berkenaan Ahmad Puat Abdul Hamid berkata, operasi dijalankan berdasarkan aduan daripada wakil cap dagang sah di negara ini dan risikan selama seminggu.

Katanya, dalam serbuan ini, sebanyak 282 barangan tiruan pelbagai jenis dirampas dan disita kerana melanggar Akta Perihal Dagangan 2011.

“Nilai barangan cetak rompak yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM7,500 berdasarkan kepada harga pasaran semasa.

“Ketika serbuan, ada beberapa pekerja yang berada di dalam premis berkenaan dan kita sudah mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ahmad berkata, premis terbabit didapati menjual beg tiruan pelbagai jenis dengan harga lebih murah berbanding harga produk tulen bagi menarik pelanggan.

“Premis yang menjalankan perniagaan runcit itu disyaki sudah beroperasi lebih tiga tahun dan pernah beberapa kali diserbu. Namun pemiliknya masih tidak serik melakukan perbuatan sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:10 AM