Kuantan: Masalah penerokaan tanah haram dan banjir lumpur di Lembah Bertam, Cameron Highlands, akan dapat diatasi jika jawatankuasa bersama untuk menyelia pemulihan jangka pendek dan panjang meluluskan 12 cadangan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali berkata, pihaknya membentangkan cadangan itu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pada 11 dan 22 Julai lalu.

“Kami membentangkan cadangan itu dan beberapa daripadanya diterima pakai dan kami berharap jawatankuasa berkenaan meluluskan baki cadangan berkenaan.

“Pada masa sama, kami akan menekankan kepentingan kerjasama antara pelbagai agensi terbabit untuk turut sama membantu menangani isu berkaitan dengan Cameron Highlands,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penerangan dan Majlis Dialog SPRM Pahang bersama Persekutuan Dewan-Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Negeri Pahang, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah SPRM Pahang, Zainul Darus dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina, Tan Sri Lim Sing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin memaklumkan Kabinet bersetuju dengan pembentukan jawatankuasa bersama yang akan dipengerusikan bersama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Adnan.

Jawatankuasa berkenaan akan bertanggungjawab bagi penyediaan pelan tindakan untuk memulihkan Cameron Highlands yang terbabit dalam kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa serta kemusnahan harta benda.

Mustafar berkata, SPRM sudah mengenal pasti 10 isu di kawasan tanah tinggi berkenaan sebelum mengemukakan 12 cadangan untuk mengatasinya kepada kerajaan negeri.

“Antaranya, SPRM mencadangkan supaya pemberian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dikaji semula bagi menghentikan pencerobohan di tanah kerajaan di Cameron Highlands,” katanya.

Pihaknya juga meminta kerajaan negeri menentukan dasar yang jelas mengenai pembangunan tanah tinggi dan penubuhan bidang kuasa berasingan antara Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands bagi mengelakkan berlaku pertindihan.

Mustafar menggesa mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berlakunya amalan rasuah di Cameron Highlands supaya membuat laporan kepada SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:20 AM