AZMI (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Platinum kepada Firdaus di Majlis Konvokesyen ke-31 Kolej Poly-Tech Mara (KPTM).

Putrajaya: “Selain tiada motivasi, saya tidak berminat belajar dan hilang semangat. Keputusan diterima setiap semester juga merosot dan akhirnya saya dibuang universiti hingga menyebabkan kedua ibu bapa kecewa,” kata penerima Anugerah Platinum Mohd Firdaus Shafudin, 25, juga graduan Diploma Kejuruteraan Awam (Pembinaan Keselamatan) Kolej Poly-Tech MARA Kuantan.

Anak kedua daripada enam beradik yang memperoleh purata gred komulatif (CGPA) 3.74 itu berkata, pengalaman pahit berkenaan dilaluinya ketika menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.

“Sewaktu di universiti, saya hilang tumpuan hingga mengabaikan pelajaran dan tidak mengulang kaji. Saya memasuki IPTA sekadar menuruti hasrat ibu dan ayah tanpa mempunyai matlamat sebenar.

“Saya memperoleh keputusan teruk pada setiap semester dan dibuang universiti pada semester kelima. Pada waktu itu, saya memperoleh CGPA bawah 2.00,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-31 Kolej Poly-Tech MARA di sini, semalam.

Seramai 866 graduan sidang pertama menerima ijazah, diploma dan sijil profesional disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Azmi Mohamad.

Sidang kedua majlis berkenaan membabitkan 1,068 graduan diikuti 991 graduan dan 1,201 graduan pada sidang ketiga serta keempat.

Mohd Firdaus yang berasal dari Sungai Rambai, Melaka berkata, dia menyedari ibu bapanya kecewa kerana mereka meletakkan harapan tinggi kepadanya supaya belajar bersungguh-sungguh.

“Biarpun tidak marah dan tidak bercakap mengenainya, saya tahu mereka bersedih apabila mendapat perkhabaran saya dibuang universiti.

Saya tidak sanggup melihatnya dan berazam menebusnya dengan menyambung semula pelajaran di Kolej Poly-Tech MARA Kuantan, Pahang,” katanya.

Menurutnya, sepanjang mengikuti pengajian di peringkat diploma, dia tidak pernah mengabaikan pelajaran dan memberi tumpuan sepenuhnya bagi memastikan kesilapan lalu tidak berulang.

Hasil jerih perih dilalui, rezeki akhirnya berpihak kepada Mohd Firdaus apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Platinum berikutan kejayaan dalam akademik dan kokurikulum sepanjang menuntut di Kolej Poly-Tech MARA Kuantan.

“Saya memang terkejut dan tidak menyangka dipilih menerima anugerah ini. Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada ibu bapa kerana tidak jemu mendoakan serta memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Beliau kini bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas di Prai, Pulau Pinang dan berhasrat menyambung pelajaran menerusi pendidikan jarak jauh (PJJ) di peringkat ijazah sarjana muda.

Sementara itu, graduan Diploma Pengurusan Perniagaan Nurdzillah Abdullah, 23, Kolej Poly-Tech MARA Semporna, Sabah menerima Anugerah Emas dengan memperoleh CGPA 3.97.

Anak sulung daripada tujuh beradik berasal dari Kudat, Sabah itu berkata, dia gembira dan bersyukur menerima anugerah berkenaan, sekali gus mahu membuktikan ‘budak kampung’ sepertinya boleh berjaya seperti orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:26 AM