Kuala Lumpur: Langkah terakhir yang boleh dilakukan oleh seseorang ‘banduan akhir’ ialah mengemukakan permohonan pengampunan kepada sultan di negeri berkenaan atau Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Negara Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Abdul Halim Sidek berkata, cara itu adalah ikhtiar akhir bagi banduan berkenaan sementara menunggu tarikh hukuman gantung mereka dan keputusan itu bergantung kepada nasihat daripada lembaga pengampunan.

“Bagi peringkat negeri, banduan boleh mengemukakan pengampunan kepada sultan, manakala bagi persekutuan, ia tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong serta lembaga pengampunan.

“Ini jalan akhir bagi mereka. Lembaga pengampunan membabitkan jemaah penasihat yang akan menilai semula hukuman terhadap banduan itu dan ia tertakluk kepada budi bicara,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad di sini, semalam.

Bagaimanapun, Abdul Halim berkata, ada cara lain iaitu membawa semula kes berkenaan kepada mahkamah jika ada penemuan penting yang boleh menimbulkan keraguan munasabah terhadap sesuatu kes itu.

Namun, katanya, jalan penyelesaian itu juga bergantung kepada kuasa budi bicara mahkamah, sama ada ingin menyemak semula keputusan atau sebaliknya.

“Semakan semula mungkin boleh dilakukan di atas perkara undang-undang dan bukan membabitkan fakta. Semakan ini boleh dilakukan jika hakim tersalah mentafsir undang-undang tertentu.

“Mungkin juga ada bukti disorokkan dan jika dikemukakan bukti itu, ia mampu menimbulkan keraguan munasabah, perkara ini boleh berlaku, tetapi sangat jarang terjadi,” katanya.

Menurutnya, mahkamah menerusi kuasa budi bicara badan itu berhak menentukan sama ada rayuan boleh dilakukan semula atau mengarahkan perbicaraan semula.

Katanya, perkara ini wajar diberi perhatian pada peringkat awal perbicaraan lagi dan bukan selepas hukuman dijatuhkan kerana keputusan mahkamah kebiasaannya tepat selepas hakim mempertimbangkan beberapa perkara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:26 AM