ANTARA GRO yang ditahan di pusat karaoke di Jalan Utara, Petaling Jaya.

Petaling Jaya: Seorang wanita warga China yang juga pelajar di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu negara antara 16 ditahan kerana disyaki menjadi pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan karaoke di Jalan Utara, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 8.15 malam, 12 wanita warga China dan empat Vietnam ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan.

Menurut Pegawai Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya Asisten Superintendan Mohd Nazri Daud berkata, semua GRO berusia 20 hingga 30 tahun itu disyaki mengenakan caj serendah RM130 untuk khidmat menemani pelanggan di bilik karaoke.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati semua GRO yang ditahan dihantar oleh seorang ejen ke pusat hiburan itu dan turut menerima habuan daripada setiap wanita yang dilanggan.

“Kami percaya wanita ini turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan memandangkan bilik hotel berhampiran pusat hiburan. Kami percaya upah layanan seks yang dikenakan kepada lelaki hidung belang sebanyak RM200 hingga RM500,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 30-an yang juga pengurus premis turut ditahan bagi membantu siasatan dan semakan ke atas semua wanita yang diberkas mendapati dua daripada mereka tidak mempunyai pas lawatan sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:35 AM