Sungai Petani: Golongan peniaga terus diberi amaran supaya tidak memperdaya pengguna menaikkan harga barangan sesuka hati dengan mendakwa kenaikan dibuat berikutan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), April depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang melakukan kesalahan itu mengikut undang-undang sedia ada.

Katanya, pelbagai kaedah digunakan peniaga tujuan mengelirukan orang ramai seperti melalui jualan murah dan tawaran menarik menjelang GST walaupun ia sekadar untuk menipu pembeli.

“GST belum bermula, jadi jangan kelirukan rakyat dengan pelbagai tawaran.

“Kerajaan memandang serius perkara ini kerana tidak mahu rakyat ditipu oleh peniaga yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan.

“Tindakan sesetengah peniaga membuat pelbagai iklan dan tawaran jualan murah sebelum GST seolah-olah mereka mahu memberitahu rakyat harga barangan akan naik apabila GST dilaksanakan, jadi jangan sebar perkara yang tidak betul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:36 AM