SEBAHAGIAN bakal mahasiswa gembira bersama Shamsul selepas menerima WPP PTPTN.

Lenggong: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tetap meneruskan skim pinjaman kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), walaupun menanggung beban kewangan susulan terpaksa berhutang bagi mengumpul dana.

Pengerusinya Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan terpaksa berhutang dengan beberapa institusi kewangan di negara ini bagi mengumpul dana RM5.88 bilion setahun sebagai peruntukan pinjaman kepada pelajar IPT yang disalurkan melalui PTPTN.

Katanya, PTPTN perlu membayar balik hutang berkenaan kepada pihak bank dan dalam masa sama terpaksa memberikan RM1.6 bilion kepada pelajar baru selain meneruskan pemberian pinjaman RM3.8 bilion kepada pelajar lama.

“Pihak kami menanggung beban kewangan apabila 173,985 peminjam culas dan gagal membuat pembayaran balik, tetapi PTPTN tetap berhasrat meneruskan operasi tabung berkenaan.

“Kami akan tetap meneruskan skim pinjaman ini kepada bakal pelajar IPT, sekali gus menafikan khabar angin dalam media sosial mendakwa PTPTN akan dimansuhkan susulan ramai tidak membayar balik pinjaman.

“Setakat ini, langkah diambil bagi menyelesaikan masalah terhadap 173,985 peminjam yang culas dan tidak membuat pembayaran balik sehingga kini, PTPTN memutuskan untuk menyenaraihitamkan mereka dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mulai 1 Januari depan,” katanya selepas menyampaikan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 186 penerima WPP bagi Parlimen Lenggong, Gerik, Kuala Kangsar dan Padang Rengas membabitkan RM280,000 diserahkan kepada bakal mahasiswa yang akan mendaftar di Politeknik dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) seluruh negara mulai 22 November ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman dan Ketua Eksekutif PTPTN Agos Cholan.

Shamsul Anuar berkata, pihaknya bimbang tabiat culas membayar balik pinjaman PTPTN akan menjejaskan peminjam baru hingga menyebabkan keadaan bertambah rumit pada masa akan datang.

Menurut beliau, pihaknya masih memberi peluang kepada peminjam culas supaya hadir berunding dengan PTPTN di 25 cawangan seluruh negara selewat-lewatnya 31 Disember depan bagi penyusunan semula sebelum pelaksanaan CCRIS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:37 AM