OTHMAN (tiga dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian peserta selepas merasmikan Ihtifal al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan.

Kuantan: “Sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Artikel 121A bahawa Mahkamah Sivil tidak boleh mencampuri bidang kuasa dan keputusan dibuat Mahkamah Syariah.

“Peruntukan itu perlu dihormati semua pihak bagi mengelak berlaku salah faham dan kekeliruan kepada masyarakat,” kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha.

Beliau berkata, peruntukan itu jelas dan tidak sepatutnya ada pihak membincangkan keputusan Mahkamah Syariah di Mahkamah Sivil.

“Mahkamah lain tidak boleh membincang atau membicarakan hal berkaitan hukum syarak, tetapi kerana ia sudah dimohon, kita tunggulah rayuan dibuat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

“Seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kata sebelum ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dari negeri lain akan mencelah dalam prosiding rayuan itu nanti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ihtifal al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan, di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Rayuan, 7 November lalu yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi Perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

Katanya, keputusan mahkamah itu dibimbangi akan mengundang kecelaruan dalam kalangan masyarat dan tidak berlaku kerana hukum mengenainya sudah jelas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:38 AM