Batu Gajah: Orang ramai yang berada berhampiran sebuah bank di Jalan Pejabat Pos, di sini, petang kelmarin, gempar apabila terdengar bunyi tembakan dan menyangka berlakunya rompakan terhadap sebuah van keselamatan yang sedang mengambil wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank berkenaan.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira jam 5 petang itu bukan membabitkan rompakan, tetapi berpunca daripada seorang pengawal syarikat keselamatan berusia 24 tahun yang melakukan kerja mengambil wang terbabit tertembak satu das tembakan daripada senjata pump gun hingga mencederakan seorang rakannya yang juga pengawal keselamatan di hadapan bank berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif, dalam kejadian itu, mangsa berusia 40 tahun dan menetap di Taman Bemban cedera di belakang badannya.

Katanya, siasatan mendapati sebelum kejadian, mangsa melalui jalan berkenaan dan ternampak beberapa rakan sekerja sedang bertugas mengeluar serta memasukkan wang ke mesin ATM bank itu.

“Mangsa kemudian berbual dengan beberapa kenalannya sebelum beredar dengan melalui belakang van untuk melintas jalan.

“Namun, secara tiba-tiba seorang rakannya dipercayai terlepas satu das tembakan dari pump gun yang dibawanya ke arah jalan dan tembakan itu menyebabkan serpihan batu jalan terpelanting lalu terkena belakang mangsa,” katanya, di sini, semalam.

Shaharon Anuar berkata, mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah bagi mendapat rawatan kerana tiada kecederaan serius dan hanya calar pada kulit kira-kira dua sentimeter akibat terkena batu.

“Susulan itu, rakan mangsa ditahan dan polis merampas selaras pump gun jenis Hawk 12 Bore dan baki enam peluru bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:31 AM