BAS ekspress yang membawa 30 penumpang dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur terbabas selepas mengelak dua penunggang motor.
BAS ekspress yang membawa 30 penumpang dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur terbabas selepas mengelak dua penunggang motor.

Alor Gajah: Seramai 30 penumpang bas ekspres terselamat apabila kenderaan yang dinaiki terbabas dan menjunam ke dalam longkang di Kilometer 193.4, Lebuhraya Utara-Selatan, arah Utara, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, pemandu, Nordin Salim, 49, nekad melencongkan bas berkenaan bagi mengelak daripada terlanggar penunggang dan pembonceng lelaki motosikal yang terjatuh.

Sumber berkata, ketika kejadian, empat remaja menunggang dua motosikal berasingan dari arah sama memotong bas ekspres berkenaan menggunakan lorong kecemasan dan kedua-duanya memasuki lorong paling kanan sebelum bergesel dengan sebuah motosikal itu lalu hilang kawalan dan terjatuh.

“Kedua-dua penunggang dan pembonceng motosikal terbabit sempat bangun dan menunggang semula motosikal itu apabila melihat sebuah bas ekspres di belakang mereka lalu memecut melarikan diri,” kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Nordin berkata, dia dalam perjalanan dari Terminal Bas Larkin, Johor Bahru ke Terminal Bas Tasik Selatan membawa 30 penumpang sebelum bas dipandu terbabit dalam kemalangan setibanya di tempat kejadian.

“Saya memandu di lorong kiri berikutan hujan renyai sebelum melihat dari cermin sisi kiri terdapat dua motosikal Kawasaki memotong dari lorong kecemasan sebelum memperlahankan kenderaan.

“Ketika itu saya perasan empat remaja lelaki menunggang dua motosikal memecut laju sebelum kedua-dua motosikal itu ke lorong tengah.

“Motosikal itu dipercayai berlumba dan bergesel antara satu sama lain menyebabkan sebuah daripadanya terjatuh dan terseret di lorong kanan,” katanya.

“Mungkin tindakan melencongkan bas ke bahu jalan satu kesalahan, tapi saya terpaksa mengambil risiko penumpang bas kerana mahu selamatkan dua nyawa yang terbaring atas jalan,” katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:33 AM