PRO-Canselor UMK, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail mencemar duli menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Malaysia Kelantan kepada Sathish.

Kota Bharu: Kegagalan sebelum ini tidak pernah mematahkan semangat V Sathish Kumar, 24, untuk ke menara gading.

Malah, kesabaran dan kesungguhannya itu berbaloi apabila dia dinobatkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-4 Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berakhir semalam.

Sathish berasal dari Bahau, Negeri Sembilan satu-satunya penuntut India UMK setakat ini menerima anugerah itu, berkat kecemerlangan ditunjukkan.

Graduan Sarjana Muda Keusahawanan (Pelancongan) itu juga penerima anugerah dekan untuk lapan semester berturut-turut.

Ditemui sebaik selesai majlis, anak muda itu menyifatkan peluang kedua yang diterima bagi melanjutkan pengajian ke IPTA terlalu berharga.

“Ketika pertama kali memohon ke universiti dan permohonan saya ditolak, saya akui sangat kecewa. Namun saya tidak patah semangat sebaliknya membuat rayuan hingga akhirnya saya diterima masuk ke UMK.

“Saya menyambung pengajian ke sini bagi sesi pengambilan kedua dan peluang itu tidak saya sia-siakan sebaliknya, saya manfaat bersungguh-sungguh untuk memastikan keputusan peperiksaan saya cemerlang.

“Ibu bapa inspirasi utama saya dalam pelajaran, malah pendorong semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh.

“Memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan keputusan cemerlang bukan penamat, tetapi batu loncatan untuk saya ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” katanya di sini, semalam.

Sathish berkata, ketika ini dia sudah berkhidmat sebagai pengurus tugas di sebuah hotel terkemuka di Pulau Pinang, namun berhasrat melepaskan jawatan itu kerana ditawar menjadi Pensyarah Muda di UMK.

Katanya, mahu menerima tawaran berkenaan sebagai membalas budi pensyarah dan kakitangan UMK yang pernah membantunya sepanjang menuntut pengajian di situ.

“Saya satu-satunya pelajar India yang menyertai Rejimen 506 Askar Wataniah sebagai Perajurit Muda dan menjadi Presiden Kelab Bahasa Tamil UMK selain wakil penuntut Malaysia ke Indonesia dalam projek ekonomi sosial untuk membangunkan Bandung, Indonesia yang turut disertai wakil Filipina, Switzerland, Singapura dan Thailand.

“Atas sebab itu, saya mahu tabur bakti dan kongsi pengalaman serta pengetahuan yang saya ada untuk penuntut UMK bagi sesi berikutnya,” katanya sentiasa mengutamakan pembahagian masa yang betul bagi memastikan waktu belajar dan aktif berpersatuan tidak terjejas.

Bapa Sathish, K Velayuthan, 53, bersyukur dan bangga dengan kejayaan anaknya itu dan menyifatkan ia contoh terbaik untuk anaknya yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:08 AM