ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa.

Seremban: “Memang hati kami terkilan dengan kematiannya, bagaimanapun kami sedia memaafkan suspek sekiranya dia sudah insaf dengan perbuatannya.

“Kami juga tahu dia tidak sengaja melakukan perkara terbabit hingga mengundang kematian,” kata R Nagendran, 46, bapa saudara kepada seorang lelaki berusia 20 tahun yang menumbuk muka datuk saudaranya, R Palaniadi, 67, hingga mati selepas berang tidak diberi wang oleh ibunya, R Ambutha, 58, di rumah mereka di Lorong 6, Taman Seri Pagi, Senawang, di sini, kelmarin.

Menurut Nagendran, dalam kejadian jam 5 petang itu, dia berada di Kuala Lumpur bersama keluarga sebelum dihubungi ibunya, S Rethnam, 80, mengenai insiden meragut nyawa bapa saudaranya.

Katanya, dalam insiden itu, anak saudaranya pulang ke rumah meminta wang daripada kakaknya, namun tidak diberikan menyebabkan suspek berang.

“Kerana marah tidak diberi wang, dia menumbuk cemin digantung dalam bilik menyebabkan dia dimarahi emak saya yang juga nenek suspek.

“Selepas itu, emak yang bertongkat menghayunkan kayu kepadanya lalu mengarahkannya keluar rumah, namun keengganannya menyebabkan bapa saudara pula bertindak meleraikan pergaduhan,” katanya.

Nagendran berkata, berang urusannya dicampuri, suspek yang cedera di tangan selepas menumbuk cermin melepaskan tumbukan di muka nenek dan datuk saudaranya.

“Akibat tumbukan itu, bapa saudara yang kebetulan sakit jantung sejak tiga tahun lalu mengalami sesak nafas dan berjalan ke arah dinding ruang tamu untuk duduk di situ,” katanya yang memberitahu suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal selepas kejadian berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang ketika itu berasa kesejukan sempat meminta air daripada ibunya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Ketika kejadian, hanya mereka berempat iaitu anak saudara, kakak, bapa saudara dan emak terbabit dalam insiden itu,” katanya ketika ditemui menguruskan upacara pembakaran mayat Palaniadi di rumah milik Rethnam di Taman Seri Pagi, di sini, semalam.

Nagendran berkata, mangsa tinggal di rumah berkenaan sejak tiga tahun lalu selepas bercerai dengan isterinya dan memiliki empat anak manakala Ambutha sebelum ini tinggal di Taman Seremban Jaya, di sini, namun kematian suami sejak tiga tahun lalu.

“Kakak baru saja tinggal di rumah emak, tiga bulan lalu, dan kami mengajaknya tinggal bersama kerana anak bongsunya itu memiliki masalah sosial, malah kami cuba mendidiknya.

“Tidak sangka kejadian itu berlaku hinggga menyebabkan kematian,” katanya yang memaklumkan ahli keluarganya sedih dengan kematian bapa saudaranya, namun bersedia memaafkan kesalahan suspek kerana menganggap kejadian terbabit tidak dijangka.

Menurutnya, buat masa ini seluruh ahli keluarganya menyerahkan siasatan kepada polis yang berjaya menahan anak saudaranya itu pada jam 12.50 tengah malam, semalam.

“Ahli keluarga menyerahkannya kepada pihak berkuasa dan sekiranya dia bebas, kami sudi menerimanya jika dia benar-benar insaf,” katanya.

Metro Ahad, semalam, melaporkan hanya kerana wang dimintanya tidak diberikan ibu, seorang lelaki berusia 20 tahun bertindak menumbuk muka datuk saudaranya hingga mati ketika warga emas berkenaan mahu meleraikan pergaduhan antara dua beranak terbabit di rumah mereka di Taman Seri Pagi, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:11 AM