AZMI (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian wang dirampas, di IPK Pulau Pinang, semalam.

Georgetown: Seorang dalang sindiket peminjam wang tanpa lesen bergerak aktif di sekitar daerah Barat Daya sejak 2008 ditahan bersama rampasan wang RM500,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas, di sini, Sabtu lalu.

Suspek berusia 35 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) di rumahnya ketika berehat bersama ahli keluarga hasil maklumat serta risikan yang dilakukan sejak seminggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, berdasarkan siasatan suspek menjalankan kegiatan haram itu tanpa memiliki lesen sah dengan memberi pinjaman kepada peniaga kecil serta nelayan di daerah itu.

Beliau berkata, pihaknya merampas wang RM545,599 serta 51 cek pelbagai agensi perbankan RM846,000 yang belum ditunaikan dan 47 kad peminjam yang mengandungi butiran bayaran peminjam.

“Selain itu, polis menemui 49 kad peminjam kosong, dua salinan kad pengenalan peminjam, satu kad pengenalan, 10 buku bank milik suspek dan peminjam, satu kad pengeluaran wang automatik (ATM), dua telefon bimbit Samsung dan Nokia.

“Turut dirampas satu komputer riba Acer, dua buku catatan dan angka yang disyaki milik akaun peminjam, tujuh kertas transaksi mesin deposit tunai (CDM), 25 slip transaksi pengeluaran wang automatik (ATM) dan tiga parang.

“Suspek mengaku menjalankan aktiviti pemberi wang tanpa lesen sejak 2008 dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 2011 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda RM250,000 atau tidak melebihi RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang media, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:33 AM