Kota Bharu: Polis percaya tindakan suspek mencederakan muka seorang wanita dalam kejadian di Pasir Puteh empat hari lalu bukan bermotifkan dendam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, sebaliknya suspek dipercayai bertindak demikian kerana marah selepas gagal mendapat wang yang dikehendaki selain ibu mangsa Hat Tema Mat Zin, 58, dikatakan melawan ketika disamun.

Menurutnya, kejadian itu tiada kaitan sama sekali dengan kes dendam seperti disebarkan pihak tertentu di laman sosial, sebaliknya siasatan polis mendapati ia menjurus kepada jenayah samun semata-mata.

“Berdasarkan keterangan mangsa, kita percaya suspek bukan membalas dendam, sebaliknya memang mahu menyamun.

“Namun, mereka gagal mendapatkan wang dikehendaki hingga berang lalu bertindak luar batasan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Katanya, pihaknya masih mengesan suspek dan percaya penjenayah yang mendalangi kejadian itu berasal dari daerah sama.

“Usaha memburu suspek giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 22 tahun menempuh pengalaman ngeri apabila pipi kirinya ditoreh dengan pisau oleh seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya di Wakaf Berangan, Sri Aman, Pasir Puteh.

Penjenayah bertindak demikian kerana berang apabila Nur Shafiqa Lah, 22, enggan menyerahkan cincin dan telefon bimbit serta melawan dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu.

Mazlan juga meminta orang ramai berhenti menyebarkan maklumat palsu berhubung kes berkenaan dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 9:03 AM