Kuala Lumpur: Tiga remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun yang diburu pihak berkuasa selepas memecah masuk kedai runcit di Subang Perdana Court, di Subang Jaya ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar daerah itu, semalam.

Semua suspek ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, antara jam 5 petang kelmarin hingga 1.45 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Tan Ah Chua berkata, tiga suspek diburu selepas dipercayai memecah masuk kedai runcit di kawasan itu sebelum melarikan wang tunai dan kad tambah nilai prabayar bernilai RM4,500 jam 2.30 pagi kelmarin.

“Susulan laporan polis dibuat pemilik kedai itu, satu siasatan dilakukan sebelum pihak berkuasa menemui kesan cap jari milik suspek.

“Polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Kota Raja, Klang sebelum menahan suspek pertama berusia 17 tahun yang berada di rumah jam 5 petang,” katanya.

Menurut Tan, susulan penahanan itu, dua lagi serbuan berasingan dilakukan di rumah di Bandar Sunway dan USJ 1, antara jam 1.15 pagi dan 1.45 pagi semalam.

“Serbuan itu berjaya menahan dua suspek berusia 18 tahun sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 7:07 AM