Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memindahkan operasi Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam ke Terminal Bas Sementara di Jalan Lontar Peluru 13/39, Seksyen 13 bersebelahan pasar raya Giant dan Stadium Shah Alam bermula 15 Disember ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti MBSA Shahrin Ahmad berkata, pemindahan sementara terminal bas itu adalah untuk memberi laluan kepada kerja membaik pulih Terminal Bas Seksyen 17 yang akan dinaik taraf menjadi terminal bas moden.

“Selain itu, terminal baru ini juga mempunyai kemudahan awam yang lebih baik demi keselesaan dan kemudahan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Shahrin berkata, terminal bas sementara itu mempunyai kemudahan 24 kaunter tiket termasuk kemudahan awam lain seperti tandas, surau, gerai dan ruang makan, kios selain ruang menunggu bas dan teksi.

“Kami juga bersetuju menempatkan pejabat agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 7:08 AM