Norlia (duduk dua kanan) dan Kartina (duduk kanan) melihat keadaan Qysstina
Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Penderitaan ditanggung pesakit leukemia, Qysstina Syafieka Erman Shah, 7, menimbulkan rasa simpati pelbagai pihak untuk menghulurkan sumbangan termasuk artis veteran yang turu t mewujudkan sebuah tabung bagi mengumpul dana untuk kanak-kanak terbabit.

Bekas pengasas Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar berkata, beliau mewakili rakan artis veteran berasa terpanggil untuk membantu kanak-kanak perempuan berkenaan selepas membaca laporan akhbar ini selain di laman media sosial.

Menurutnya, hatinya begitu tersentuh apabila Qysstina menanggung derita pada usia muda iaitu sejak berusia empat tahun dengan kehidupan keluarganya dihimpit kesusahan dan menjadi tanggungjawab setiap individu untuk tampil membantu meringankan beban mereka.

“Kami amat bersimpati dengan penderitaan yang ditanggung oleh anak ini, sekali gus bersepakat mengambil inisiatif untuk turun padang bertemu dengannya dan melancarkan Tabung Kutipan Bantuan Qysstina Shafieka,” katanya ketika berkunjung ke rumah keluarga kanak-kanak itu untuk menghulur sumbangan wang tunai dan barangan keperluan di Taman Permai, Kuala Ketil, semalam.

Hadir sama, Naib Ketua UMNO Bahagian Baling Mohd Khairul Azhar Abdullah, Pegawai Penerangan Daerah Baling Mohd Rabi Wahab; Ketua Puteri UMNO Baling Suriati Che Mid dan artis-artis veteran, termasuk Norlia Ghani serta Kartina Aziz.

Sementara itu, Norlia berkata, beliau berasa sayu dan amat bersimpati dengan penderitaan yang ditanggung kanak-kanak terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:15 AM