Nur Airien Syailla (kanan) dibantu rakannya.
Nur Airien Syailla (kanan) dibantu rakannya.
Oleh Rosyahaida Abdullah

Petaling Jaya: Mungkin ramai orang muda masa kini gusar memikirkan belanja kahwin yang semakin mahal hingga mencecah puluhan ribu ringgit walau cuma majlis ringkas lalu mengambil keputusan untuk menangguhkannya.

Realitinya, banyak yang boleh dijimatkan antaranya dengan mencontohi Nur Airien Syailla Abdul Hamid, 29, yang melakukan sendiri sebahagian persiapan perkahwinannya yang bakal berlangsung minggu depan dengan bantuan rakan dan saudara terdekat.

Eksekutif pentadbiran itu memulakan persiapan secara perlahan-lahan sejak beberapa bulan lalu dengan membeli perkakasan untuk tujuan dekorasi membabitkan belanja RM1,000.

Malah, dia turut mereka sendiri kad kahwin sebelum dicetak menggunakan mesin pencetak di rumah dengan kos dakwat, kad dan sampul semuanya sekitar RM150.

“Apa yang boleh saya jimat, saya buat sendiri. Misalnya bunga pahar dan hiasan meja tetamu, saya beli kertas dan bentukkan ia jadi bunga. Saya juga gunakan semula botol terbuang untuk dekorasi sekitar dewan termasuk sudut bergambar.

“Saya cuma sewa benda asas seperti sofa, pentas, tempat letak pasu bunga (flower stand), lampu utama (spotlight) dan papan (backdrop) untuk kegunaan pelamin di rumah dan dewan selain bantal nikah dengan kos lebih kurang RM800.

“Apabila saya memulakan persiapan lebih awal, saya dapat atur perbelanjaan kerana gunakan wang gaji sedikit demi sedikit jadi tidak terasa sangat pada saat akhir,” katanya.

Selain itu, hasil bantuan rakannya, Nur Airien turut membungkus sendiri cenderahati buat tetamu menggunakan beg kertas pada kos RM50 untuk 700 tetamu tidak termasuk cop yang ditempah RM34 dan dakwat cop sekitar RM10. Keseluruhannya cuma sekitar RM100.

Menurut Nur Airien, hasil bantuan rakan, dia juga dapat berjimat untuk bunga tangan, khidmat juruvideo dan pengacara majlis yang diberikan secara percuma, malah segala persiapan dilakukan di rumah rakan disebabkan ruang di rumahnya agak terhad.

Dia juga membeli sendiri kain untuk baju nikah dan sandingnya yang dikenakan caj tempah RM400 untuk dua pasang.

“Untuk DIY (buat sendiri), memang banyak masa dikorbankan terutama hujung minggu kerana perlu siapkan semua ini tapi manfaatnya, kita dapat berjimat dan kahwin cepat,” katanya ketawa.

Bagaimanapun, Nur Airien mengakui masih banyak yang boleh dijimatkan cuma atas kekangan waktu memandangkan majlisnya akan berlangsung seminggu saja lagi, dia teruskan apa yang perlu.

“Untuk sewa dewan, katering dan jurugambar, memang sukar untuk DIY juga, tetapi saya cari sehabis murah melalui rakan dan Internet. Bagi saya, buat sendiri bukan saja menjimatkan, malah memberi kepuasan kerana baik buruk dekorasi itu kita puncanya,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:38 AM