DR Omar (kanan) dan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Prof Zainal Arifin Mohd Ishak menunjukkan kedudukan ranking selepas sidang media, semalam.
Oleh Mohd Hilmi Mahmud

Georgetown: Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Omar Osman menafikan universiti itu tidak mencapai sasaran Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) berikutan masalah dua makmal bersepadu di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal, seperti dilaporkan akhbar berbahasa Inggeris, semalam.

Berikutan itu, beliau mengadakan sidang media khas bagi menjelaskan laporan akhbar berkenaan yang menyatakan USM tidak mampu menghidupkan status APEX kerana pusat penyelidikan bernilai RM21 juta yang dibina tiga tahun lalu tidak dapat digunakan.

Beliau berkata, pembinaan dua makmal bersepadu yang dimulakan pada 2008 dan 2010 itu tidak mempunyai masalah seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

Sebaliknya Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC) yang dibina pada 2008 dan siap sepenuhnya pada 2011 sudah mula menjana pendapatan kepada USM.

“Bukan sahaja memberi faedah kepada pelajar melakukan penyelidikan, malah makmal SERC turut menyediakan perkhidmatan kepada industri dan pengguna luar sebagai usaha penjanaan kewangan bagi jangka masa panjang.

“Sehingga 2014, SERC sudah menjana RM104,000 dengan penggunaan kira-kira 30 pengguna luar setiap bulan di samping digunakan pelajar ijazah sarjana serta penyelidik di kampus ini,” katanya pada sidang media di USM di sini, semalam.

Makmal SERC turut dilengkapi peralatan bernilai lebih RM11 juta yang disumbangkan syarikat tempatan untuk membantu dalam bidang penyelidikan.

Malah, Bank Pembangunan Islam (IDB) turut menyumbangkan peralatan dan mesin kepada SERC dan pembelian peralatan berkenaan dibuat secara berfasa.

Omar berkata, isu membabitkan makmal Ruang Penyelidikan Bersepadu (RPB) bernilai RM14 juta tidak sepatutnya ditimbulkan kerana pembinaannya kini sudah 97 peratus siap dan kerja akhir dijangka selesai sepenuhnya menjelang hujung bulan ini.

Mengikut jadual RPB sepatutnya diserahkan kepada USM pada 2012, namun pembinaannya tergendala berikutan kontraktor bermasalah dan ditamatkan kontraknya.

“Pembinaan disambung semula oleh kontraktor baru pada 2013, malah gambar yang disiarkan akhbar berkenaan sebenarnya diambil pada 2010.

“Kami dimaklumkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang melakukan lawatan tapak, bangunan itu hampir siap,” katanya.

Di sebalik isu itu Omar berkata, USM komited melahirkan graduan mampu bersaing di peringkat global dan masalah berkenaan tidak membantutkan usaha universiti itu.

Status APEX dianggap perjalanan untuk mencapai kecemerlangan dan ia adalah pelaburan kegemilangan masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:42 AM