SURYATI bersama anaknya tinggal dalam kontena dengan serba kekurangan.
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Kulaijaya: Seorang ibu tunggal terpaksa tinggal dalam serba kekurangan dalam kontena di Kawasan Perindustrian Berjaya, Seelong, Senai di sini, bersama enam anaknya sejak setahun lalu apabila mereka hilang tempat bergantung berikutan kematian ketua keluarga akibat kanser paru-paru.

Suryati Semaohoon, 44, bersama anaknya, Wahidah, 9; Mohd Syafiq, 12; Mohd Zahrizan, 15; Mohd Zaidi, 17; Mohd Zaki, 18 dan Nurziana, 22, tiada pilihan selepas suaminya, Karno Mino Ashari, meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada usia 61 tahun, setahun lalu.

Menurutnya, selepas suaminya meninggal dunia, dia menghadapi masalah kewangan memandangkan dia hanya mengambil upah menjahit di rumah, manakala Nurziana bekerja sebagai jurujual di kedai milik rakannya.

“Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, saya tidak lagi mampu membayar sewa RM400 sebulan menyebabkan kami sekeluarga terpaksa keluar dari rumah di Kempas.

“Tetapi mujur bekas majikan arwah suami yang bersimpati membenarkan kami sekeluarga tinggal di kontena ini yang sepatutnya dijadikan rumah pekerja tanpa mengenakan sebarang bayaran selain membekalkan kemudahan elektrik dan air secara percuma,” katanya.

Suryati berkata, pada awalnya, anak-anaknya memberontak tidak mahu tinggal di dalam kontena itu kerana tiada kemudahan bilik tidur selain keadaannya tertutup mengakibatkan mereka kurang selesa.

“Kini selepas setahun, mereka kini belajar berdikari selain lebih cekal menghadapi cabaran hidup dalam keluarga yang sering dihimpit kesusahan,” katanya.

Suryati berkata, ada pihak yang prihatin mencadangkannya supaya memohon rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR), namun dia menangguh hasrat itu se hingga semua anaknya tamat persekolahan.

“Saya juga bersyukur kerana memperoleh bantuan sara hidup RM700 daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ),” katanya.

Sementara itu, kesusahan hidup keluarga berkenaan menerima perhatian daripada Pasaraya Econsave yang menawarkan baucar bernilai RM1,000.

Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:52 AM