KEADAAN trak ATM yang terbalik ke dalam parit selepas terbabas mengelak sebuah kereta.
KEADAAN trak ATM yang terbalik ke dalam parit selepas terbabas mengelak sebuah kereta.

Kampar: Dua parah manakala lima anggota tentera cedera ringan selepas trak dinaiki 13 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabas melanggar tiang elektrik sebelum terbalik ke dalam parit di Kilometer 9.4, Jalan Kuala Dipang-Chenderiang, Kampung Sahom, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, sepasukan anggota dari Kem 2, Briged Jalan Tambun Ipoh dekat sini, yang menaiki empat kenderaan ATM secara konvoi menuju ke Lata Kinjang untuk ke lokasi latihan.

Setiba di tempat kejadian, sebuah trak terbabas selepas dikatakan cuba mengelak sebuah kenderaan lain.

Seorang mangsa berpangkat sarjan yang enggan namanya disiarkan berkata, dua pegawai bersama seorang pemandu duduk di depan manakala 10 anggota lain berada di belakang trak.

“Apabila tiba di tempat kejadian trak kami cuba mengelak sebuah kereta Perodua Kelisa yang tiba-tiba memasuki laluan menyebabkan trak kami hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang elektrik di tepi jalan.

“Kenderaan kami kemudian terbalik dan terseret ke dalam parit. Kami bersyukur kerana tiada yang cedera serius ,” katanya ketika ditemui di Hospital Kampar di sini semalam.

Menurutnya, dua anggota berpangkat sarjan yang cedera lutut dan seorang lagi patah bahu kanan serta cedera di kepala, dihantar ke hospital manakala lima anggota yang cedera dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan membabitkan sebuah trak ATM jenis Hicom Handalan yang cuba mengelak sebuah kereta memasuki laluan menyebabkan ia terbabas.

“Siasatan mendapati trak yang menuju Lata Kinjang itu terbabas melanggar tiang elektrik sebelum terbalik.

“Tujuh daripada 13 anggota cedera dan dihantar ke Hospital Kampar untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 10:59 AM