Kuala Lumpur: Masray Plastik Sdn Bhd menjangkakan untuk meluaskan operasi ke pasaran luar dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi khususnya selepas pembabitan dalam projek Pembangunan Bersepadu Kilang Penapisan dan Petrokimia PETRONAS (RAPID) Pengerang, Johor.

Pengerusinya, Sahih Ibrahim berkata, syarikat berkenaan yang mula beroperasi sejak 1985 menghasilkan beg plastik anyaman (woven bag) untuk kegunaan pelbagai industri.

“Kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada pengilang yang menghasilkan produk seperti beras, baja, makanan haiwan dan tepung,” katanya selepas sidang media, semalam.

Menurutnya, ketika itu, kapasiti pengeluaran mencecah sehingga 70 tan sebulan namun meningkat kepada 150 tan sebulan dalam tempoh 10 tahun.

“Pada 2007, kami mula mengorak langkah dengan menghasilkan beg tahan lasak untuk kegunaan berat iaitu form-fill seal yang diperbuat daripada linear polyethylene berketumpatan rendah (LLDP).

“Mesin buatan Jerman yang berharga RM9 juta itu mampu menghasilkan sehingga 130 tan sebulan,” katanya.

Menurutnya, pembabitan dalam Program Pembangunan Vendor (VDP) kelolaan Petronas secara tidak langsung membuka peluang untuk syarikatnya menghasilkan produk berkualiti dan ruang meneroka pasaran luar.

“Dengan prestasi yang ditunjukkan melalui pembekalan produk kepada PETRONAS, kami yakin ia dapat meningkatkan imej syarikat dan memudahkan untuk mencuba pasaran luar seperti Singapura,” katanya.

Sahih berkata, dengan pembabitan dalam projek RAPID, pihaknya merancang untuk menambah mesin menjelang 2018 bagi menampung keperluan.

“Buat masa ini, kami hanya mengeluarkan plastik untuk kegunaan dua loji penapis kelolaan Petronas namun, dengan bermulanya projek RAPID ia memerlukan kami menghasilkan kapasiti sekurang-kurangnya tiga kali ganda berbanding apa yang dihasilkan sekarang.

“Ia juga dijangka dapat menambah pendapatan syarikat sehingga 10 peratus setahun melalui pembabitan dalam projek berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 7:36 AM