HALIM (kiri) bersama Tang.

Shah Alam: Karnival Jom Heboh buat julung kalinya akan diadakan di dalam kawasan taman tema sejak 12 tahun penganjurannya dan dijangka menarik kehadiran kira-kira sejuta pengunjung.

Pengurus Besar Pengurusan Projek Media Prima Bhd (MPB) Halim Masod berkata, karnival ini akan berlangsung selama dua hari bermula dari 27 hingga 28 Disember ini di kawasan Taman Tema i-City, di sini.

“Karnival pada kali ini adalah paling besar dan pertama kali diadakan di taman tema sejak penganjurannya dalam tempoh 12 tahun dan ia adalah karnival penutup bagi tahun ini.

“Kita merancang membuka lebih 100 gerai selain menjangkakan akan menerima kira-kira sejuta pengunjung,” katanya dalam sidang media pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPB dan i-Berhad di i-City, di sini, semalam.

Menurutnya, selepas enam tahun tidak menganjurkan Karnival Jom Heboh di negeri ini, pihaknya membawakan kelainan apabila pengunjung berkesempatan menikmati permainan di taman tema berkenaan selain aktiviti yang dijalankan sepanjang karnival berlangsung.

“Kami di MPB sentiasa menghargai orang ramai yang menyokong TV3 selama ini dan penonton setia diharapkan tidak melepaskan peluang itu.

“Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sepanjang karnival diadakan termasuk permainan kanak-kanak, malah orang ramai juga berpeluang memenangi hadiah daripada penganjur melalui pertandingan di gerai yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Maklumat i-Berhad Tang Soke Cheng berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran MPB untuk menganjurkan Karnival Jom Heboh di taman tema itu.

“Sempena penganjuran karnival ini yang akan dijalankan tidak lama lagi, kami melabur kira-kira RM500,000 dalam usaha menaik taraf taman tema ini supaya kelihatan lebih menarik serta memberi kemudahan kepada pengunjung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 10:18 AM