Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula April tahun depan dijangka menambah pendapatan negara sekali gus dapat memberi keselesaan kepada kehidupan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak akan bersetuju untuk melaksanakan GST sekiranya ia bukan satu penambahbaikan kepada sistem percukaian negara.

“Sebagai contoh, ramai yang berniaga dan tidak membayar cukai. Jadi adilkah perkhidmatan kerajaan diberikan kepada mereka yang tidak membayar cukai? Adilkah dia mendapat perkhidmatan polis dan sebagainya?

“Justeru, sebab itu kita perlu buat sistem GST. Sebab itu saya kata...ada sebab bila kerajaan buat sesuatu. Jangan menentang sesuatu sebab kita tak faham, cari apa rasionalnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Wacana Kepimpinan Perdana: Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Presiden PPTD Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat.

Justeru, katanya, rakyat perlu diberi penerangan dan penjelasan terbaik mengenai segala dasar kerajaan termasuk pelaksanaan GST serta rasionalisasi subsidi yang sedang dilakukan.

“Tolong terangkan sebab apa sistem GST perlu dilaksanakan dan kenapa kita perlu buat rasionalisasi subsidi yang mana akhirnya untuk kebaikan rakyat.

“Walaupun dia (rakyat) tak nampak, banyak yang tidak nampak dan mempertikaikan, tapi percayalah...kalau kita beri penjelasan sebaik-baiknya, akhirnya mereka (rakyat) boleh terima dan saya yakin kita di landasan yang benar dan betul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 8:52 AM