Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu menahan seorang pelakon wanita bersama pasangannya dalam satu pemeriksaan di sebuah premis kediaman di Ukay Perdana, pada 14 Disember lalu.

Dalam satu kenyataan kepada media, Pengarah JAIS Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, hasil pemeriksaan itu, kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 29 (1), Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

“Jika disabitkan kesalahan, pasangan itu boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Mereka dilepaskan dengan ikat jamin dan diarahkan hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak untuk siasatan lanjut dan kes ini masih dalam siasatan JAIS,” katanya.

Akhbar ini Isnin lalu melaporkan, seorang pelakon berstatus janda yang sinonim dengan filem seram dicekup sepasukan penguat kuasa agama bersama pasangannya di sebuah kediaman di Ukay Perdana.

Mereka gagal menunjukkan dokumen yang menunjukkan sebarang hubungan mahram ketika ditahan penguat kuasa JAIS yang menerima aduan daripada orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 10:15 AM