Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) menegaskan tiada kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan terhadap pengguna jambatan di Pulau Pinang dan Johor.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, di bawah Perintah GST (Pembekalan Dikecualikan) 2014, lebuh raya bertol di jalan awam adalah termasuk jambatan dan perkhidmatan itu dikecualikan daripada pelaksanaan cukai itu yang bermula 1 April 2015.

“Pihak Kastam juga pada bila-bila masa tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai penarikan balik status pengecualian GST berkenaan,” katanya pada kenyataan di sini, semalam.

Semalam, satu portal berita melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, beliau mendapat tahu pengecualian GST untuk jambatan berkenaan telah ditarik balik semasa taklimat oleh Jabatan Kastam bulan lalu. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:16 AM