Skip this ad x
ANGGOTA polis membantu mangsa yang terbabit nahas.

Taiping: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal patah tangan kanan apabila motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum melanggar bahagian tepi kereta lalu terjatuh di atas jalan dalam kejadian di Kilometer 5.7, Jalan Taiping-Selama, berhampiran Kompleks Rakan Muda Kamunting, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam, mangsa, Mohamad Zaid Parman yang bertugas di Balai Polis Kamunting dikatakan menunggang motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam perjalanan menghala ke Kamunting.

Setibanya di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian tepi kereta yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa cedera di tangan kanan selain motosikalnya rosak.

““Mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil,”” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:12 AM