MOHAN Singh (tengah) beramah mesra dan menyerahkan cenderahati kepada kakitangan hospital.
MOHAN Singh (tengah) beramah mesra dan menyerahkan cenderahati kepada kakitangan hospital.
Oleh Mohd Hasbi Sidek


Klang: “Aman Wanita (AMANITA) yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membolehkan saya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa terutama membabitkan jenayah,” kata suri rumah dari Klang K Nirmala, 47.

Dia antara individu yang berdaftar menjadi ahli AMANITA dalam usaha menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang tidak dilapor dalam kalangan masyarakat.

Nirmala berkata, dia kian yakin untuk mengambil tindakan dan mendedahkan kejadian jenayah kepada polis berbanding sebelum ini.

“Saya kini sudah menjadi sebahagian daripada polis kerana fungsi dan matlamat kempen ini adalah untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kes jenayah,” katanya ketika ditemui sejurus mendaftar sebagai ahli AMANITA di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, semalam.

Sementara itu jururawat HTAR Norshuhada Mhd Nasir, 22, berkata, golongan wanita lebih berisiko terdedah terhadap kejadian jenayah seperti ragut, culik dan rogol.

“Pelaksanaan kempen ini dapat memberi pendedahan kepada masyarakat terutama golongan wanita untuk bertindak dan mengawal keadaan sekiranya berlaku kejadian jenayah.

“Saya berharap lebih ramai golongan wanita tampil menjadi ahli kepada AMANITA khusus bagi membantu polis mengawal kes jenayah di kawasan perumahan,” katanya.

Terdahulu Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Senior Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh menyampaikan barangan serta buku panduan pencegahan jenayah kepada pesakit dan pelawat di HTAR.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:14 AM