KEADAAN trak yang terbabas sebelum terhumban ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Tengah Nipah, Kampung Biuang, Lahad Datu.
Oleh Norasikin Daineh

Lahad Datu: Empat kenderaan tentera yang berkonvoi untuk menyertai Latihan Ex-Pasak berakhir tragedi apabila sebuah trak membawa 23 anggota hilang kawalan lalu terbalik hingga menyebabkan seorang anggota maut manakala enam yang lain cedera termasuk dua kritikal dalam kejadian di Kilometer 8 Jalan Silabukan, dekat Kampung Biuang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, anggota yang maut dikenali sebagai Koperal Mohd Farouk Bahar, 29, manakala rakannya Prebet Nik Mohamad Haikal Shakir Nik Subardi dan Prebet Mohamad Hadri Hafiz Othman dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Mohd Farouk yang cedera parah di beberapa anggota badan disahkan meninggal dunia jam 11.15 pagi ketika diberikan rawatan di Hospital Lahad Datu.

Difahamkan, konvoi membabitkan tiga trak tiga tan dan sebuah pacuan empat roda dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Cenderawasih di sini, bergerak kira-kira jam 9 pagi menuju ke Sandakan.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, trak ketiga itu dipercayai hilang kawalan lalu terhumban ke dalam parit dan terbalik dalam keadaan keempat-empat tayarnya ke atas.

Menurut sumber, kebanyakan anggota tercampak keluar dari kenderaan itu manakala ada di antaranya terperangkap di bawah trak yang terbalik.

Namun, semua mereka berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.53 pagi dan lima anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, bomba mendapati sebuah trak milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbalik di dalam parit.

“Namun, semua 23 anggota termasuk pemandu sudah dikeluarkan manakala mereka yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Kata Mohd Affendy, operasi menyelamat berakhir jam 11.45 pagi.

Ketua Polis Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad, mengesahkan kejadian itu.

Metro Ahad difahamkan, jenazah anggota sudah diterbangkan ke Tawau menggunakan helikopter Nuri sebelum dihantar pulang ke kampung halamannya di Yong Peng, Johor untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:13 AM