Oleh Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: Seorang ibu sanggup belajar bahasa isyarat demi memberikan didikan sebaik mungkin kepada tiga cahaya mata orang kurang upaya (OKU) yang pekak dan bisu.

Ternyata usaha wanita itu, Rahayu A Rashid, 37, tidak sia-sia apabila anak sulung daripada lima anaknya, Rossyafiqah Mohamad, 22, berjaya mencapai purata nilai mata 3.6 bagi program Sijil Kemahiran Khas Fesyen pada Konvokesyen Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Ke-18, di sini, semalam.

Rahayu berkata, keluarganya berbangga dengan pencapaian anaknya itu yang bersungguh-sungguh meneruskan pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi mengejar cita-cita menjadi pereka fesyen.

Menurutnya, Rossyafiqah adalah seorang yang cekal dan tidak mudah putus asa serta memiliki keistimewaan tersendiri kerana dia mampu ‘membaca’ mengetahui perbualan individu lain tanpa menggunakan bahasa isyarat hanya berdasarkan pergerakan bibir.

“Ia juga memudahkannya bergaul dengan individu normal lain tanpa sebarang kekurangan walaupun mempunyai kecacatan,” katanya.

Rahayu dari Terengganu yang bekerja sebagai pekerja bahagian pembersihan berkata, selain Rossyafiqah, dua anak lelakinya, Zulkifli Amar,19, dan Zakhwan Asrah,17, turut mengalami kecacatan sama.

Menurutnya, demi masa depan anaknya, dia sanggup mempelajari bahasa isyarat dengan menyertai kursus khas.

“Jika tidak mempelajari bahasa isyarat, bukan mudah bagi saya untuk mendidik anak-anak.

“Alhamdulillah, ketiga-tiga mereka adalah anak yang bertanggungjawab dan saya yakin Rossyafiqah menjadi contoh baik kepada adik-adiknya,” katanya.

Remaja perempuan itu adalah antara 359 graduan yang menerima sijil pada Majlis Konvokesyen PIS ke-18 yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Kecemerlangan Profesional Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian Pendidikan Malaysia Azizi Lin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 8:44 AM
Digital NSTP Subscribe