Petaling Jaya: Sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR), Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif kenderaan jenama Ford antara penaja pengangkutan dalam segmen trak pikap bagi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2014.

Dua trak pikap menerusi model Ford Ranger mengiringi rombongan TKHM bertemakan ‘Kembali ke Sekolah’ yang diadakan esok di Kampung Belantik, Sik, Kedah, sekali gus menjadi acara penutup program CSR anjuran akhbar Harian Metro pada tahun ini.

Pengarah Urusannya Lee Eu San berkata, sudah tiga tahun berturut-turut pihaknya terbabit dalam program TKHM dan menyokong penuh usaha Harian Metro dalam membantu golongan kurang berkemampuan.

“Adanya trak pikap ini, ia akan memudahkan program TKHM untuk memunggah barangan sumbangan sebelum diserahkan kepada mereka yang memerlukan.

“Selain itu, ia mampu membuktikan kelasakan trak pikap kami yang kini menduduki tempat kedua dalam penguasaan pasaran dalam segmen pacuan empat roda di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan dua unit Ford Ranger untuk program TKHM di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Projek Harian Metro Abdul Kadir Hamza.

TKHM bertemakan ‘Kembali ke Sekolah’ itu, menyediakan bantuan kelengkapan persekolahan kepada 150 murid daripada keluarga miskin di daerah berkenaan.

Selain itu, 12 keluarga miskin terpilih untuk menerima bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 8:03 AM