ZAMBRY bersalaman bersama kakitangan YBUDR ketika mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat YBUDR.

Ipoh: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap peminjam Skim Mikro Kredit (SMK) dan Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) yang disediakan melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) jika mereka gagal membayar balik pinjaman diberikan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, keengganan peminjam melunaskan hutang itu bukan saja berdosa dalam Islam, malah menyebabkan golongan miskin lain yang berada dalam kategori 40 peratus golongan rakyat bawahan tidak dapat memanfaatkan kemudahan itu.

Menurutnya, dia kesal apabila 2,500 daripada 3,227 peminjam SMK iaitu kemudahan pinjaman untuk membantu perniagaan kecil, berdepan masalah tunggakan, malah ada yang tidak membayar langsung pinjaman itu.

“Oleh kerana keengganan peminjam yang tidak membayar balik pinjaman mereka, kita tidak boleh menawarkan pinjaman kepada orang lain. Kita akan menghantar surat peringatan kepada peminjam mendesak mereka membayar balik pinjaman.

“Tindakan undang-undang akan menjadi pilihan terakhir jika mereka masih gagal membayar balik pinjaman itu,” katanya selepas melawat Ibu Pejabat YBUDR.

Beliau berkata, tujuan penubuhan YBUDR bukannya sebagai agensi yang akan membolot keuntungan, tetapi sebagai agensi yang berperanan meningkatkan taraf hidup golongan miskin.

Katanya, peruntukan untuk YBUDR akan ditingkatkan daripada RM5 juta kepada RM10 juta tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 8:10 AM