KAPAL Maritim KM Bidong ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di Pulau Rawa, Mersing.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Mersing: Taman Laut Malaysia kini mempunyai tarikan baru kepada pelancong apabila empat kapal ronda kelas Sipadan milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjadi tukun tiruan selepas ditenggelamkan sejak Oktober lalu.

Pengarah Bahagian Perancangan dan Pengurusan Taman Laut Malaysia Ab Rahim Gor Yaman berkata, kapal terbabit ialah KM Ligitan, KM Jarak, KM Pemanggil dan KM Bidong.

Katanya, semua kapal terbabit kini ditempatkan di dasar laut di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, selain Pulau Kuraman Labuan serta Pulau Rawa, di sini.

Menurutnya, pihaknya merancang menenggelamkan dua lagi kapal milik APMM yang mendapat hak pelucutan perkhidmatan daripada Kementerian Kewangan iaitu KM Siamil dan KM Sempadi di Pulau Payar, Kedah serta Tanjung Tuan, Negeri Sembilan menjelang suku pertama tahun depan.

“Tujuan kapal berkenaan ditenggelamkan supaya berfungsi sebagai peranti biodiversiti marin dan lokasi aktiviti selam skuba, sekali gus menjadi destinasi popular pilihan pelancong.

“Usaha ini diharap memberi manfaat kepada semua pihak termasuk Jabatan Taman Laut Malaysia, APMM, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, penduduk tempatan, operator pelancongan, penyelam skuba serta penyelidik yang berminat dalam teknologi pemuliharaan marin,” katanya kepada pemberita sempena Program Penenggelaman Kapal Maritim KM Bidong Tukun di Pulau Rawa, di sini, semalam.

Pada Ogos lalu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Laksamana Madya Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, kapal berkenaan yang berada di lautan lebih 41 tahun itu pernah digunakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diserahkan kepada APMM pada 2005 untuk tugas penguatkuasaan.

Ab Rahim berkata, pihaknya dijangka menerima empat lagi kapal APMM pada tahun depan.

“Bagi tujuan itu, kami berbincang bersama Jabatan Perikanan Malaysia bagi mengenal pasti lokasi sesuai untuk menenggelamkan kapal terbabit sebaik memperolehnya daripada APMM.

“Kebiasaannya kapal berkenaan ditenggelamkan kira-kira 30 meter di dasar laut, selain memastikan lokasi itu bukan laluan utama kapal dan lebih penting ia tidak berhampiran muara sungai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 9:04 AM